Thursday, July 23, 2009

Siapa Dia??

"Matanya lirik-lirik selalu." "Rupanya manis-manis ayu." "Matanya lirik-lirik selalu." "Rupanya manis-manis ayu. lalala..."

Siapa yang ayu? Siapa lagi kalau bukan yang comel, yang gebu, yang lawa....Tok Wan la tu. Heee....apa macam? Kepada gadis-gadis kat luar sana tu, jangan la cemburu dengan Tok Wan, umur dah senja tapi badan anak dara. Eh, melalut pulak Tok Wan. Biasalah, dah lama tak ada "entry" macam ni pulak jadinya. Maafkan Tok Wan semua.

Salam sayang dari Tok Wan untuk semua. Alkisahnya, hari ini semasa Tok Wan tengah cangkul rumput dekat laman teratak Tok Wan, sambil nyanyi lagu Gadis dan Bunga nyanyian Rahimah Rahim, tetiba datang Mak Aji. Memanggil-manggil nama Tok Wan ni ha. Dalam otak Wan ni, dah fikir macam macam, Kenape Si Aji ni? Nampak macam cemas. Peluh berderai-derai kat muka. Sampai depan Wan pun Mak Aji masih cungap. nafasnya pendek-pendek.

"Kome ni nape Aji? Nampok kalot bebenor..Macam dikejor hantu."
"Wan..Wan.. Aji dengor..huh..huh.. orang kat..huh..huh"
"Aji oi....mane le teman ni nak paham...nengok kome pun teman rase penat tahu!"

"Orang kat...nun...ape...huh huh.."
"Ish...penat teman eh nengok kome...moh duduk dulu! Minum ayor tu."

"Terima kasih Wan...Aji mari ni, nok kabor kat Wan"

"Ce ceghita kat teman ni Aji. Apa kejadah kome jadi macam orang kena kejor hantu ni"
"Ni Wan...Aji hidok tahu la. Tapi Wak Kasam ngan Long Oni duk ceghita kat warung"
"Ceghita ape?"

"Ceghita pasal Yasmin...."

"Yasmin..ha nape ngan cucu aku tu?"
"Yasmin jatuh pengsan! tu le yang Aji cepat datang sini, nok kabor kat Wan"
"Kome ni bior betul Aji...jangan buat ceghita. Kome cakap pasal Yasmin cucu aku tu!"
"Sumpah Wan..nih..telingo Aji ni duk dengar, mata aji duk tengok.. kome semua duk ceghita" "Ish..teman nak gi telefon yasmin le"

Masa tu Wan tak sedap hati dah. Rasa macam nak pitam da, nak menangis pun ada. Maklumlah, Yasmin tu satu-satunya cucu Wan. Walaupun dia duduk jauh. Wan cepat-cepat pergi telefon Yasmin.

"Aji....Aji.....kalu teman cakap kome ni dungu kome marah teman!"
"Macam mana Yasmin Wan?"

"Kalau kome tanya pasal cucu aku dia sihat walafiat."

"Sihat? ate..yang kome ni duk ceghita tu Yasmin mana?"
"Tu Yasmin Ahmad Aji oi.... dalam Utusan pagi tadi ada ceghita pasal dia"

"Ooo......Hehehe....Aji yang salah la ni Wan. Sorry"

"Sorry naik lori Abang Din la kome Aji!!!!"

Adoi...Macam tu la kisahnya. Terkejut Wan. Ada ke cucu kita Yasmin ditukarkan dengan Yasmin Ahmad. Pengarah tersohor tu. Pagi tadi Wan terbaca di NST Online pasal Yasmin ni. Ketika tengah membentangkan kertas kerja di TV3, dia pengsan dan dimasukkan ke hospital. Keadaan Yasmin tak tahu la pulak Wan. Mungkin esok lusa ada la ceritanya.



Apa yang Wan nak ceritakan, Wan sangat menyukai filem-filem arahan Yasmin Ahmad. cukup bersahaja namun punya banyak "messege" untuk masyarakat. Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentime cukup untuk memberi gambaran kepada kita, realiti kehidupan masyarakat kita. Aliran filem Yasmin cukup berbeza, ringkas tapi punya maksud yang mendalam. Tak seperti sesetengah pengarah tu. promosi..boom! sana..boom! sini. katanya filem terhebat alaf ini! tapi bila Wan tengok cerita tu..tak ada apa pun. Haprak! Berbeza denga filem-filem Yasmin yang punya elemen kemasyarakatn yang bagus, serta percampuran budaya yang selalu diamalkan di Malaysia. Sesuai lah dengan konsep 1Malaysia garapan Datok Najib kita. Tak gitu?

Tapi Wan ni jadi hairan, filem-filem bagus arahan Yasmin Ahmad ini dikontroversikan oleh sesetengah pihak? Katanya filem Yasmin tak sesuai dengan budaya kita, budaya orang timur. Mengarut!! Padahal filem-filem Yasmin jelas menunjukkan inilah realiti masyarakat kita. inilah yang sebetulnya. Pergi mati dengan karya-karya "mahu cari untung" semata-mata. tapi isinya... tuih!! langsung tak ada. Jadi tak hairanlah bila nama Yasmin gah di arena antarabangsa. Filem-filem yasmin pun diiktiraf dan dapat Awards. Tak apa Yasmin, biar kita dipandang serong oleh masyarakat sendiri asalkan kita berjaya dimata orang lain. wan doakan supaya cepat sembuh dan teruskan berkarya. Salam dari Tok Wan...

Wednesday, July 15, 2009

PAS Pilihan Manek Urai


Salam perpaduan dari Tok Wan untuk semua. Ai..penat betul Wan hari ni, mana taknya, ke sana kemari untuk menghabiskan kerja dan tugasan Wan. Sekarang ni pun banyak lagi kerja Wan yang berlogok menunggu untuk disiapkan. Ish...sibuk mengalahkan Wakil Rakyat pulak. Tapi Wan rasa baik Wan berehat sekejap, jadi Wan pun sambung la dengan menulis kat blog Wan ni.Apa cerita Tok Wan hari ni?

Rasanya ramai yang dah tahu keputusan Pilihan Raya Kecil Manek Urai, yang telahpun dimenangi oleh calon parti PAS, Muhammad Fauzi Abdullah. Kemenangan yang boleh dikatakan tidaklah begitu selesa bagi PAS namun, rakyat sudah membuat pilihan. PAS masih diperlukan di Manek Urai. Wan bukanlah terlalu ambil kisah siapa yang menang dan siapa yang kalah. Tapi apa yang wan kisahkan adalah macam mana wakil yang dipilih dan dilantik sendiri oleh rakyat ini akan menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat di Manek Urai. Beliau haruslah membawa perubahan dan memimpin rakyat ke arah yang lebih baik dan seterusnya menjadikan Manek Urai sebuahkawasan yang berdaya saing dan mempunyai penduduk yang produktif dan berketerampilan. Ini yang Wan sangat ambil berat.


Wan tak mahu, bila dah menang segala menifesto yang telah ditaburkan terhadap rakyat di Mnek Urai hanya tinggal janji semata. Bukan tak pernah berlaku perkara macam ni, memang banyak berlaku. Tapi sebaiknya wakil rakyat yang dah dipilih ini harus dengan sedaya upaya mencuba untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan kepada rakyat bagi tidak mengkhianati kepercayaan yand dah diberikan. Tak gitu? Wan ni bukannya apa, Wan takut bila dah jadi pemimpin dah tak ingat lagi kepada rakyat yang menyokong. Jangan la masa kempen saja menjadi pemimpin berjiwa rakyat, tapi sepanjang masa perlu cuba mendekati rakyat, memahami apa keperluan, apa keluhan dan apa pendapat dari orang yang dipimpin. Ini barulah pemimpin yang sebenar.


Jadi Wan harapkan, semoga calon yang terpilih, Muhammad Fauzi akan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan akan membawa perubahan positif kepada Manek Urai. Dan untuk calon Barisan Nasional, Tuan Aziz Tuan Mat yang tidak berjaya, tidak bermakna dia tidak ada tanggungjawab untuk membawa transformasi kepada Manek Urai, sebaliknya dia juga turut sama dapat menyumbangkan idea yang bernas dan baik untuk rakyat. Kalau dia betul-betul ikhlas berjuang untuk rakyat, walaupun bukan sebagai Wakil Rakyat dia masih boleh menyumbang untuk masayarakat. Itu pendapat Wan la. Jadi, Tahniah!! Kepada Wakil Rakyat Manek Urai, Muhammad Fauzi. Wan mintak diri..


Tuesday, July 14, 2009

Sayang Sayang

Uhuk..Uhuk... Maaf la, Wan tak sihat sikit hari ni. Maklumlah dah tua-tua ni senang nak dapat penyakit. Sakit situ lah..sakit sini lah. Macam-macam ada. Tapi tengah Wan duk rehat petang tadi, sambil duk selak New Straits Times yang Wan beli, ada satu berita yang membuatkan Wan rasa nak marah, kecewa dan bercampur dengan sedeh dengan karenah masyarakat kita sekarang ni. Wan pun tak sangka, ada juga "hantu" yang sanggup buat benda macam tu tanpa buat perhitungan yang waras. Ish..ish.. geram Wan dibuatnya

.
Yalah, macam mana Wan tak geram bila baca berita tentang seorang nenek warga emas yang dah berumur 72 tahun disamun dan menyebabkan nenek tu cedera. Kalau cucu-cucu semua pun rasa nak marah kan? Tapi yang paling mengecewakan Wan tu, sanggup lah "hantu" tu buat jenayah terhadap golongan yang tak berdaya macam Wak Timah tu. Dah lah umur pun dah lanjut (Wan tak lanjut lagi), malah dicederakan dan wang RM400 pun lesap disamun. Inilah dunia kita sekarang yang dikatakan semakin maju, moden dan cyber dalam segala hal sampai perkara asas dalam masyarakat pun sanggup diketepikan. Tak segan silu melakukan jenayah dan langsung tak hormat pada orang yang lebih tua. Kalau tak ada yang lama, manakan ada yang baru.


Wan sangat-sangat kecewa bila ada perkara yang sedemikian rupa berlaku. Orang dulu-dulu sangat menghormati orang tua, nak meninggikan suara pun tak berani inikan pula sampai mencederakan orang tua. Memang sangat-sangat mengecewakan. Memang susah nak ajar masyarakat zaman sekarang yang semakin degil, besar kepala, bodoh sombong dan cetek akal. Pernah sekali Wan ada tenampak kes dimana bila seorang ibu menasihati anaknya supaya jangan melakukan perkara-perkara yang tak baik. Tapi yang sedihnya si anak bukan saja tak peduli dengan kata-kata nasihat ibu, malah memaki hamun ibu pula. MasyaAllah... Wan mengucap panjang. Cucu-cucu, ingat lah..jangan sesekali menjadi Si Tanggang. Jangan sesekali pun pun kita melukakan hati ibu kita keran Syurga itu dibawah telapak kaki ibu. Derhaka kepada ibu..Neraka lah tempat yang sepatutnya.

Jadi, cucu-cucu Tok Wan yang Wan sayang, yang Wan cinta. Kalau kita rasa diri kita masih mempunyai kekurangan, masih punyai kelemahan, kita masih ada waktu untuk ubah. Dunia kita makin parah, masyarakat dah makin punah. Wawasan 2020 garapan dari Tun M, Wan rasa tak akan dapat dicapai kalau masyarakat kita masih melanggar norma-norma hidup bermasyarakat. Ingat, setinggi mana pun pencapaian kita, tapi kalau persepsi kita masih di takuk lama. jangan nak bermimpi bulan jatuh keriba. Salam sayang dari Tok Wan.

Monday, July 13, 2009

Kenal Tok Wan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera Tok Wan nak ucapkan kepada semua adik-adik, abang-abang, anak-anak dan cucu-cucu Tok Wan sekalian. Wan, ni memang orang lama dah tapi kalau nak dikirakan baru sahaja nak kenal apa itu blog. Wan ni bukan apa, lepas ja Tok Aki meninggal dunia Wan tak tahu lagi macam mana nak teruskan hidup. Macam sudah berputus asa. Tapi, bila Wan fikir balik, tak ada guna juga kita nak tangiskan orang yang dah pergi. jadi, kita yang hidup ni perlu teruskan hidup dan beribadat dan beramal kepada Allah swt dan mendoakan orang yang kita sayang semoga berbahagia di sana. Aki pun pernah berpesan kat Wan.

"Wan, kalau aku mati nanti kau jangan lah sedih terus dan sia-siakan hidup kau. Buat lah sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat, bukan sahaja untuk diri kau tapi juga untuk masyarakat
"

Jadi, Wan dah berfikir panjang dan secara rasional, ada baiknya kalau Wan berkongsi maklumat dan pengetahuan yang Wan ada dengan msyarakat di luar sana. Jadi Wan pun hasilkan laman blog Wan ni sebagai medium untuk Wan berkongsi input terkini yang boleh membina pemikiran dan juga berfaedah untuk dikongsi dengan semua pembaca. Wan tak kisah apa-apa isu sekalipun, seperti hiburan, politik, ekonomi, pendidikan, sukan, sains dan teknologi serta masyarakat amat suka wan ketengahkan. Jadi, Wan harap dan mengenali ramai kawan pembaca dan berdiskusi di laman blog Cerita Tok Wan ni. Selamat datang dan semoga kita dirahmati Allah.
Blog Widget by LinkWithin

About This Blog

Isu-isu Semasa
Perkongsian Pendapat
Pengalaman Hidup
Realiti Masyarakat
Karenah Politik
Pendidikan
Adat Dan Budaya
Bahan Bacaan
Masalah Agama
Cinta Dan Kasih Sayang

Lidah Tok Wan

"Ilmu tanpa amal dan perkongsian, ibarat si kaya dalam penjara. Hanya sia-sia...."

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP